Sentuhan penyudah lewat Ukah beri Selangor kelebihan

Oleh Shaiful Shamsudin 1 Oktober 2016 2
Sentuhan penyudah lewat Ukah beri Selangor kelebihan
SELANGOR 2 T-TEAM 1

Ugochukwu Ukah muncul penyelamat buat juara bertahan Piala Malaysia, Selangor, selepas membantu The Red Giants menewaskan T-Team 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam ini. 

Ini merupakan pertembungan ketiga di antara kedua-dua pasukan musim ini, termasuk dua perlawanan dalam saingan Liga Super sebelum ini -- masing-masing dengan satu kemenangan sebelumnya yang berpihak kepada Selangor di Shah Alam sementara T-Team menewaskan mereka dalam kunjungan ke Kuala Terengganu. 

Misi untuk memperolehi jaringan di tempat lawan berhasil buat kelab Terengganu itu apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran Bunyamin Umar terhadap Safawi Rasid pada minit ke-22. 

Pemain import The Titans, Patrick Cruz, tidak mempersiakan peluang untuk meletakkan pasukannya di depan. 

Ketika T-Team menyangka momentum itu dapat dikekalkan menuju waktu rehat, mereka dikejutkan dengan ledakan daripada tuan rumah. 

Ahmad Hazwan Bakri -- wira dua gol dalam final Piala Malaysia musim lalu -- melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk Selangor kembali mengimbangi kedudukan pada waku kecederaan separuh masa pertama.. 

Separuh masa kedua, Selangor lebih banyak mengatur gerakan ke kubu lawan dengan Ahmad Hazwan beberapa kali berpeluang untuk menambah jaringan. 

Mereka terpaksa menunggu detik 10 minit terakhir untuk menggamatkan stadium menerusi rembatan susulan pemain pertahanan, Ukah, daripada keadaan kelam-kabut di depan pintu gol lawan yang terhasil daripada sepakan percuma Andik Vermansyah, sekali gus mengubah kedudukan perlawanan menjadi 2-1. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen