Skuad Perak disambut lebih 500 peminat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh selepas mempamerkan aksi menarik di Larkin walaupun gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir gara-gara tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia malam tadi.

Turut hadir menyambut kepulangan mereka ialah Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, yang turut teruja dengan azam dan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya di samping terharu dengan sambutan peminat.

"Nyata, peminat bola sepak di negeri ini semakin bijak menilai apa yang mereka tonton semalam," ujarnya.

Menyentuh prestasi Perak, Abdul Puhat melihatnya sebagai sesuatu yang postitif dan mahu momentum ini dipertingkatkan di masa akan datang.

"Adat pertandingan ada kalah, ada menang. Tapi apa yang paling penting ialah persembahan permainan. Mereka (pemain) begitu komited. Semangat juang setiap pemain datang dari hati dan lencana di dada.

"Semangat ini tidak boleh dibeli dengan wang semata-mata. Saya tersentuh dan akan terus berusaha menaikkan mutu bola sepak Perak. Segala-galanya sudah bermula," katanya sebentar tadi.