Semangat pemain Sabah dahului insentif

Oleh Willie Jude 5 Oktober 2018 1906
Semangat pemain Sabah dahului insentif
Pemain Sabah tetap bersemangat untuk cuba mengatasi Perak dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, Ahad ini, walaupun mereka masih belum dijanjikan sebarang ganjaran.

Berbeza dengan pasukan lawan yang dijanjikan insentif RM15,000 seorang sekiranya layak ke final, Sabah lebih suka menumpukan untuk berjuang habis-habisan terlebih dahulu.

Pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, berkata buat masa ini pihak Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) masih belum dapat menjanjikan apa-apa habuan sekiranya mereka layak ke final berikutan masalah kewangan yang dihadapi persatuan itu.

Bagaimanapun, beliau yakin pemain tetap akan berjuang demi nama Sabah dan percaya usaha mereka itu pasti akan diberi perhatian.

"Kita tidak nafikan mungkin pemain mengharapkan sesuatu daripada pengurusan sekiranya mereka melangkah ke final, lebih-lebih lagi selepas pasukan lawan dijanjikan insentif RM15,000 seorang oleh kerajaan negeri mereka. 

"Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira situasi sekarang, termasuk keadaan kewangan SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah)," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan Likas, hari ini. 

Sementara itu, Juil turut berharap kerajaan Sabah akan turut menawarkan ganjaran kepada pasukan negeri sekiranya berjaya ke final. 

"Sekiranya kerajaan negeri mempunyai kewangan yang kukuh, saya harap mereka mempertimbangkan untuk memberi ganjaran kepada pasukan sebagai suntikan semangat seperti mana dilakukan kerajaan Perak," katanya. 

Dalam pada itu, Juil berharap penyokong pasukan itu yang berada di Semenanjung akan datang beramai-ramai ke Stadium Perak di Ipoh untuk memberi semangat kepada pasukan. 

"Saya meminta semua rakyat Sabah di sekitar Perak, Lembah Klang dan mana-mana tempat di Semenanjung untuk meluangkan masa menyokong pasukan kita. 

"Sorakan penyokong kita mungkin akan ditenggelami oleh suara penyokong tuan tumah tapi bagi kami, kehadiran mereka (penyokong Sabah) tetap memberi suntikan semangat," katanya. 

 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen