Kem Selangor pening kepala selepas kem latihan di Seremban, Negeri Sembilan, terjejas gara-gara peningkatan kes COVID-19.

Pengarah Teknikal The Red Giants, Michael Feichtenbeiner, mengakui perkembangan semasa tidak memihaknya untuk menguji anak buahnya dan akur untuk pulang ke pangkalan di Shah Alam lebih awal.

26 pemain termasuk daripada Selangor II diserap untuk kem satu pemantapan sejak Jumaat lalu yang sepatutnya berakhir dengan satu aksi persahabatan, sebaliknya pakar taktikal dari Jerman itu perlu memikirkan jalan terbaru untuk persiapan menghadapi Piala Malaysia pada minggu pertama bulan depan.

"Kami memutuskan untuk pulang sehari lebih awal.

"SOP (prosedur operasi standard) di Seremban tidak membenarkan perlawanan dilangsungkan.

"Kami telah mengharungi empat hari sesi latihan di sini. Ia singkat tetapi intensif.

"Setakat ini saya tiada jawapan lagi untuk perancangan terdekat, kami perlu tunggu arahan baru daripada kerajaan Malaysia sebelum memutuskan tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.




Tonggak import Selangor II dari Kosovo, Bajram Nebihi, kelihatan semakin giat bersama skuad utama Liga Super sepanjang kempen itu, ia sekali gus menimbulkan persoalan terhadap korban kuotanya.

"Saya akan nilai semua pemain, saya akan membuat keputusan sebelum perlawanan pertama."