"Kehadiran Santo beri masalah besar kepada kami."

Itu pengakuan ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang tampak resah apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali diperkuatkan penyerang, Diogo Luis Santo, tatkala dia sekali lagi kempunan menggunakan khidmat Endrick Dos Santos ekoran kecederaan.

Situasi berbeza dialami Selangor dan JDT menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tatkala JDT diperkuatkan semula dengan kehadiran Santo, Selangor pula terpaksa melupakan khidmat Dos Santos untuk aksi timbal balik itu.

Sathianathan mengesahkan pemain dari Brazil itu tidak sempat pulih daripada masalah pangkal paha ketika Santo dikatakan sudah bebas daripada kecederaan.

"Santo bukan sahaja mampu jaringkan gol tetapi memberi impak kepada pemain lain dalam perlawanan menerusi hantarannya. Jadi, ia beri masalah berbeza kepada kami berbanding aksi sebelum ini. Kami perlu cuba atasi masalah itu," katanya.

Meskipun persediaan taktikal skuad Gergasi Merah itu sedikit terencat ekoran cuaca tidak menentu, pemain tetap komited untuk mengekalkan prestasi terbaik masing-masing.

Tonggak utama, Syazwan Zainon, menggakui misi membenam cabaran JDT di laman sendiri bukan mustahil bermodalkan bekalan satu gol tempat lawan.

"Apa yang saya lihat, selepas kami bermain di Larkin, pemain tampak yakin untuk aksi kedua tetapi perlu berwaspada. Kami sedar JDT pasukan serba lengkap, jadi bukan mudah untuk kami beraksi," katanya.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Jalil Ramli, menyifatkan bekalan satu gol tempat lawan bukan jaminan mudah buat Selangor untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Sebaliknya, dia berasakan juara 33 kali Piala Malaysia itu masih perlu merintis ranjau berliku berdepan JDT di Shah Alam berdasarkan barisan pemain lawan yang serba lengkap.

"Kembalinya Santo, saya rasa benteng Selangor perlu diperkemaskan. Namun, saya percaya Selangor tidak akan bertahan, jadi JDT juga perlu berwaspada," ujar pemain kebangsaan itu.

Mengulas aksi Pahang dan Kedah yang akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Jalil menyuarakan pendapat berbeza apabila percaya skuad Lang Merah mampu membuat kejutan ke atas anak buah Dollah Salleh itu bagi meneruskan kemaraan ke pentas final musim ini.

"Mungkin ramai menjangkakan Pahang dalam keadaan selesa tetapi perlu diingat, Kedah hanya perlukan satu gol kemenangan. Semestinya juara Piala FA itu akan mempertaruhkan segalanya."


Kredit foto: Harimau Selatan