Segalanya terserah kepada jurulatih -- Nasir

Oleh Penulis Jemputan 27 Oktober 2018 637
Segalanya terserah kepada jurulatih -- Nasir
Kapten Perak, Nasir Basharudin, pasrah tidak berada dalam perancangan final Piala Malaysia tetapi berharap akan ada pertukaran saat akhir daripada pengendali The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic.

Penampilan Shahrul Saad sebagai wakil kapten ketika sidang media final semalam menguatkan lagi perkhabaran Nasir akan terlepas aksi penting itu.

Walaupun dia menegaskan sudah pulih daripada siri kecederaan, difahamkan ia masih tidak mencapai piawaian kecergasan untuk beraksi selama 90 minit.

Atas dasar itu, peluang terbaik untuk Nasir adalah beraksi daripada bangku simpanan ketika dia tidak menunjukkan sebarang masalah ketika sesi latihan fasa akhir skuad Perak.

"Saya tidak rasa saya tidak boleh main tetapi itu terpulang kepada jurulatih. Saya telah pulih sepenuhnya dan sudah seminggu berlatih bersama pasukan.

"Cuma sebelum ini saya tidak cergas sepenuhnya untuk bermain selama 90 minit. Namun, ia bakal jadi final pertama saya dan ia menjadi motivasi buat diri sendiri," kata Nasir.

Jika benar tidak beraksi, semestinya ia menjadi satu kekecewaan besar buat Nasir yang juga anak jati Perak kelahiran Taiping.

Kehadiran ramai anak watan Perak dalam skuad dilihat Nasir sebagai aset dalam menghadapi Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

"Jika dilihat secara keseluruhan, semua dalam keadaan baik. Bagi saya, kami harus memberikan tumpuan kepada pasukan sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan kerana kebanyakan pemain musim ini tidak pernah menikmati aksi final dan juga menjulang trofi Piala Malaysia," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen