Siapa boleh melupa pertembungan separuh akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Pahang musim lalu, 3-3 di Alor Setar dan 5-5 di Kuantan hingga perlawanan berakhir dengan agregat 8-8. Cukup menakjubkan!

Jumaat ini, kedua-dua pasukan akan turun berentap dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia dan kedua-dua jurulatih menjangkakan pertembungan yang luar biasa.

'Saya tidak sabar, itu luahan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin, menjelang pertembungan Piala Malaysia menentang Pahang Jumaat ini.

Aksi separuh akhir Piala Malaysia di antara kedua-dua pasukan musim lalu menyaksikan 16 gol dijaringkan dan Aidil berpendapat perlawanan kali ini mampu menyajikan aksi luar biasa.

"Kami menjangkakan perlawanan yang menarik. Sejak dua tahun lalu, terdapat banyak jaringan terhasil ketika Pahang dan Kedah bertemu. Kami akan berada di tahap terbaik menghadapi perlawanan ini," kata Aidil.

"Pahang menampilkan permainan yang berbeza kali ini kerana dibarisi pemain muda yang mula setanding dengan pemain yang berpengalaman."

Biarpun dibelenggu pelbagai masalah luar padang, Kedah baru-baru ini menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

Menurut Aidil, komitmen dan mentaliti positif yang ditunjukkan pemain akan membantu misi mereka di pentas Piala Malaysia.

"Kami perlu berterima kasih dengan komitmen dipamerkan setiap pemain Kedah. Ia menunjukkan sikap profesional pasukan dan mereka sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Aidil lagi.