Pengendali Selangor, B. Sathianathan, mengakui tidak khuatir dengan fokus Abdul Halim Saari walaupun pemain tengahnya itu mendapat kritikan hebat peminat susulan aksi hambar bersama skuad kebangsaan.

Halim antara beberapa pemain yang dikecam oleh penyokong bola sepak tanah air selepas kekalahan kepada Vietnam dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi minggu lalu.

Ia susulan pemain yang berasal dari Kedah itu dikatakan tidak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, dalam skuad negara.

Situasi itu menyebabkan Halim berdepan gangguan psikologi menjelang pertemuan penting Sabtu ini apabila Selangor turun berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia.

"Saya berasakan Halim telah memberikan yang terbaik dan mahu dia meneruskan corak permainannya. Saya berasakan masih terdapat pemain lain yang harus dikritik, namun tidak berdepan perkara sebegini," kata Sathianathan.

Halim bersama dua lagi pemain, iaitu penjaga gol, Khairul Azhan Khalid dan Syahmi Safari, bagaimanapun belum menyertai pasukan tersebut untuk persediaan menentang JDT.

Mereka akan melaporkan diri esok dan dijangka memperkuatkan skuad Gergasi Merah itu bagi misi mendapatkan bekalan selesa dalam pertemuan di Larkin nanti.