"Ia satu tamparan hebat."

Kehilangan pemain tengah kelahiran Brazil, Sandro da Silva, akibat kecederaan menjejaskan peluang skuad kendalian B. Sathianathan, Selangor, untuk melakar kejutan apabila menentang juara bertahan, Perak, dalam pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia, Ahad ini.

The Red Giants, yang merupakan juara Kumpulan D, bakal bertandang ke kubu The Bos Gaurus di Stadium Perak, Ipoh.

Bagaimanapun, peluang skuad bimbingan bekas jurulatih kebangsaan itu untuk melakar kejutan makin tipis apabila pemain tengah berpengaruh berkenaan perlu direhatkan akibat kecedaraan di bahagian lutut.

"Ia satu tamparan yang agak hebat kerana dia memainkan peranan yang sangat penting dalam liga.

"Sebagai jurulatih, saya akan sediakan pemain-pemain lain untuk (menampung) kehilangan Sandro," kata jurulatih itu.

Tahap kecergasan pemain tengah, Syazwan Zainon, turut menambah kegusaran beliau dalam memutuskan sama ada dia mampu beraksi atau tidak.

"Saya khuatir dengan kecergasan Syazwan, saya terpaksa menggunakan (khidmat) dia tetapi dalam perlawanan bertemu Felda, dia beraksi dalam tempoh 65 minit sambil menanggung kesakitan.

"Saya harap dia dapat diturunkan Ahad ini kerana sejak awal musim lagi, kami dilanda masalah kecederaan.

"Saya sedikit pening kerana perlu ubah posisi (pemain) dan cara permainan kami," tambahnya.

Dalam kempen Liga Super 2019, Selangor belum berkesempatan untuk meraih kemenangan ketika berdepan Perak dengan mencatat satu keputusan seri dan satu kekalahan.