Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, memberi amaran buat barisan tengah skuadnya agar lebih cekap mengawal situasi di tengah padang menjelang aksi menentang Kedah dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2017, Sabtu ini.

Keutamaan Sathianathan menjurus kepada anak buahnya di bahagian tengah yang dikerah beraksi lebih daripada kebiasaan memandangkan skuad Hijau Kuning memiliki nama-nama yang cukup dikenali seperti Badrol Bakhtiar, Amirul Hisham Aawang Kecik serta Syazwan Tajuddin.

Jika mahu melangkah ke final, itulah syarat yang perlu dilunaskan skuad Felda United dan Sathianathan yakin kekebalan Kedah di laman sendiri mampu dimusnahkan jika tiada sikap mementingkan diri dalam barisan pemain-pemainnya.

“Kami perlu bermain dalam keadaan bahagian tengah yang lebih padat dan tidak mudah goyah kerana Kedah mempunyai jentera tengah yang kuat,” katanya.

Dalam masa sama, bekas pengendali kebangsaan itu juga mengharapkan keberkesanan penyerangnya, Thiago Augusto Fernandes, mampu memecahkan dominasi Kedah, terutama di gawang skuad Helang Merah nanti.

Dia tidak mahu memikirkan kegagalan Thiago dalam aksi pertama di Jengka, sebaliknya memahami situasi penyerang kelahiran Brazil itu yang tidak menerima sokongan yang baik daripada gandingannya.

“Bagi saya, Thiago tidak tenggelam ketika aksi pertama. Dia bermain dengan baik.

“Mungkin tiada yang menyokong ketika dia memegang bola kerana jika melihat statistik, kawalan bola yang ditunjukkannya lebih baik berbanding pemain lain di atas padang,” tambahnya.