Pemain import Selangor, Sandro da Silva, tidak sabar untuk turun padang membantu Selangor berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia selepas direhatkan ekoran kecederaan lutut kiri.

Sekadar menjadi pemerhati daripada bangku pemain amat memedihkan buat Sandro.

Malah, dengan situasi terkini melibatkan kecederaannya, pemain berusia 36 tahun itu mahu segera bersama pasukan demi menjadi sebahagian daripada perancangan pengendali, B. Sathianathan menjelang pertemuan dengan JDT, Sabtu ini.

"Saya perlu mendapatkan sentuhan terbaik dan sebelum ini hanya kerap melakukan latihan. Kini saya sudah pulih dan bersedia untuk beraksi bersama Selangor," kata Sandro.

Menurutnya, dia sudah melewati tempoh rehat yang cukup selepas terlepas tiga perlawanan sebelum ini.

Aksi dengan Melaka di peringkat kumpulan Piala Malaysia menjadi penampilan terakhir Sandro yang menyaksikan Selangor kehilangan sentuhan pemain kelahiran Brazil itu dalam pertemuan dengan Felda United, dan dua aksi suku akhir bertemu Perak.

Sandro mengakui terpaksa melewati proses latihan dan pemulihan dengan seimbang untuk kembali menarik kepercayaan Sathianathan.

"Saya hanya berada di bangku simpanan sebelum kini kerana tahap kecergasan saya tidak berada di tahap terbaik. Sudah mampu untuk kembali dalam kesebelasan utama meningkatkan keyakinan saya bagi menampilkan permainan yang cemerlang."