Dulu watak picisan, kini wira Harimau Selatan.

Itu situasi buat penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, selepas dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia, semalam.

Dua tahun lalu, ketika JDT memenangi Piala Malaysia buat kali pertama, Safawi sekadar berada di bangku penonton.

Dia tidak disenaraikan dalam barisan akhir 18 pemain, sekali gus kempunan beraksi di pentas final kejohanan berprestij itu tetapi semalam, dia menjadi watak penting kejayaan skuad Harimau Selatan itu apabila turut menghasilkan gol sebelum dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Bagi saya, ini adalah untuk pasukan. Saya ucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu sehingga wisel penamat. Saya amat hargainya," katanya.

Dalam masa sama, kejayaan itu turut membolehkan kapten JDT, Hariss Harun, memadam memori pahitnya pada 2014 selepas tewas di tangan Pahang dalam aksi final di Bukit Jalil selain turut memberi kenangan istimewa buat pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"Apabila dapat menjulang Piala Malaysia, memang gembira memandangkan ia belum berada dalam kabinet trofi saya lagi," ujar Hariss.

"Kali ini, saya berdepan adik sendiri. Namun, mungkin ini rezeki saya. Kedah sudah cuba yang terbaik," tambah Aidil Zafuan.

Kredit foto: MFL