Sabah perlu lebih agresif -- Jelius

Oleh Willie Jude 20 Oktober 2018 429
Sabah perlu lebih agresif -- Jelius
Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata mereka perlu bermain lebih agresif dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Perak sekiranya mahu memasang impian untuk mencipta kejaiban di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata mereka tiada cara lain selain mencari gol awal dan seterusnya memberi tekanan kepada The Bos Gaurus dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu pemainnya terlalu ghairah dan leka sehingga membenarkan pihak lawan membolosi mereka, sekali gus menjadikan tugas mereka bertambah sukar.

"Kami akan cuba memberi tekanan kepada Perak dan mencari gol awal bagi menaikkan lagi semangat kami, namun kami juga perlu berhati-hati bagi mengelak daripada dibolosi.

"Bagaimanapun, cara ini (agresif) bukanlah mudah kerana kami tahu kualiti dimiliki Perak. Mereka seimbang di hampir semua posisi serta memiliki pemain tempatan dan import yang berkualiti.

"Kami akan berusaha dan berjuang habis-habisan, Andai kami tidak layak ke final, sekurang-kurangnya kami dapat menewaskan mereka (Perak) demi maruah kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Jelius berkata penyerang import, Hector Omar Ramos, mungkin terlepas aksi esok sekiranya gagal untuk cergas sepenuhnya menjelang perlawanan itu.

"Setakat ini, dia masih belum menyertai sesi latihan pasukan kerana kecederaan.

"Bagaimanapun, kami akan melihat keadaannya petang ini dan jika dia disahkan tidak dapat beraksi, tanggungjawab sebagai penyerang akan diberikan kepada penyerang muda, Rahman Shah Marajeh," katanya.

Dalam pada itu, Jelius berkata kehadiran semula ketua pasukan, Rawilson Batuil, yang kembali berlatih bersama pasukan selepas cedera sebelum ini memberi sedikit kelegaan kepadanya

"Bagaimanapun, seorang lagi tonggak, Azzizan Nordin, masih belum dapat dipastikan sama ada dapat beraksi sebagai kesebelasan utama atau tidak.

"Dalam sesi latihan semalam, dia memberitahu yang dia telah cergas dan mahu bermain, namun, kami akan lihat dalam sesi latihan petang nanti. Jika Azzizan tidak memulakan perlawanan, dia akan berada dalam senarai 18 pemain esok," katanya.

Selepas kecundang 0-5 kepada Perak dalam aksi separuh akhir pertama di Ipoh, 7 Oktober lalu, pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu sekurang-kurangnya perlu mendapatkan lima gol selain mengelak daripada dibolosi, malam esok.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen