Pengendali Sabah, Jelius Ating, menganggap hasrat mengatasi Perak dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana mereka juga telah mengejutkan beberapa pasukan dari Liga Super sebelum ini.

Bagaimanapun, dia melihat perlawanan itu nanti bakal menjadi satu lagi cabaran sukar buat skuad kendaliannya kerana Perak adalah sebuah pasukan yang memiliki barisan pemain yang baik serta memiliki pemain import berkualiti.

"Jika Kelantan yang kami tewaskan dalam aksi suku akhir lalu memiliki barisan pemain muda yang sangat bekerja keras, Perak pula memiliki barisan pemain yang lebih baik daripada segi individu. Mereka ada beberapa pemain kebangsaan serta memiliki pemain import yang baik.

"Bagaimanapun, kami pasti ada cara tersendiri untuk mengatasi mereka. Jika kami pernah melakukannya sebelum ini (menewaskan pasukan dari Liga Ssuper), kenapa pula kami tidak dapat melakukannya terhadap Perak.

"Saya ada menonton aksi suku akhir kedua di antara Perak dan PKNS tempoh hari, mereka (Perak) bermain dengan baik. Kami akan menonton semula rakaman perlawanan itu dan seterusnya mencari jalan untuk mengatasi mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sabah dan Perak sebelum ini telah tiga kali bertemu dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia pada 2002, 2003 serta 2007.

Daripada tiga pertemuan itu, Sabah dua kali menewaskan Perak pada 2002 dan 2003, namun pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu gagal mencipta kejuaraan selepas kecundang dalam final.

Pada 2007, iaitu kali terakhir Sabah melangkah ke separuh akhir, mereka dikecewakan Perak dengan keputusan agregat 3-2, namun skuad The Bos Gaurus itu juga kecundang dalam final kepada Kedah.

Separuh akhir pertama dijadualkan berlangsung Ahad depan dengan Perak lebih dulu melayan kunjungan Sabah di Stadium Perak, Ipoh manakala aksi kedua di Stadium Likas, dijadualkan berlangsung pada 21 Oktober.