Wira Kedah dalam Piala Malaysia 2016, Rizal Ghazali, berharap mampu mengulangi magis sama di Stadium Shah Alam bagi memastikan trofi keagungan bola sepak negara itu akan terus kekal di Alor Setar.

Rizal menjadi watak utama di sebalik kejayaan Kedah musim lalu selepas menghasilkan gol penyamaan dan menjadi penjaring gol kemenangan dalam situasi penentuan sepakan penalti ketika berdepan Selangor.

Berharap tuah sekali lagi berulang, pemain dari Baling itu bersedia sekiranya pertembungan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, berlarutan seperti skrip tahun lalu.

"Ini adalah final saya yang ketiga bersama pasukan Kedah. Saya harap boleh memberikan sesuatu kepada pasukan dalam final tahun ini. Saya akan cuba yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Baddrol Bakhtiar masih bernafsu untuk menambah koleksi kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat dalam kariernya.

Tiada istilah berpuas hati dengan kejayaan setakat ini, malah dia menaruh harapan sejarah kejayaan muncul juara dua kali berturut-turut seperti 2007 dan 2008 akan sekali lagi terjadi.

"Memang saya mengidam Piala Malaysia, sekali lagi membawanya ke Kedah. Saya harap dapat menambah satu lagi koleksi untuk mengisi almari," kata pemain tengah itu.