Kapten Selangor, Razman Roslan, mengakui mereka tewas kepada pasukan yang lebih baik sehingga menyaksikan impian menjulang Piala Malaysia musim ini tidak menjadi kenyataan.

Finalis untuk dua musim berturut-turut, Selangor, kali ini tersekat kepada Kedah dalam suku akhir.

Untuk rekod, Kedah juga merupakan lawan yang ditentang skuad Gergasi Merah dalam final edisi 2015 serta 2016.

Kali ini, Selangor tiada jawapan terhadap permainan kemas yang dipamerkan Kedah apabila tunduk 1-0 di Stadium Darulaman, sekaligus tersingkir dengan agregat 4-2.

Razman, bagaimanapun, melihat kekalahan ini daripada sudut positif sambil beranggapan Kedah lebih mantap berbanding Selangor sepanjang musim ini.

“Pada saya, kami gagal mempamerkan aksi yang cemerlang, namun pemain-pemain muda telah mempamerkan aksi memberangsangkan bagi membantu pasukan mara ke suku akhir Piala Malaysia,” katanya.

Razman kini menyeru rakan sepasukan agar bangkit semula supaya dua aksi terakhir Liga Super dapat menghasilkan kemenangan buat Selangor.

Mereka akan menentang Melaka United di tempat lawan esok di samping aksi penutup musim dengan Pulau Pinang bulan depan.

“Kami akan memberikan tumpuan untuk aksi berdepan Melaka sebelum berehat panjang. Saya berharap setiap pemain dapat memberikan yang terbaik supaya tidak terlalu jauh ketinggalan dalam saingan Liga Super.”