Bergelar juara empat kali bersama Selangor dan kini memegang jawatan selaku ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengibaratkan Piala Malaysia sebagai kisah cinta buat dirinya dalam kancah bola sepak di negara ini.

Namun, Durakovic tahu pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berupaya menjadi dalang dalam usahanya memburu gemilang dalam edisi kali ini.

Pengendali dari Australia itu menjulang trofi Piala Malaysia sebanyak tiga kali sebagai pemain dan sekali selaku ketua jurulatih.

"Ia sesuatu yang anda usahakan. Piala Malaysia adalah salah satu trofi tertua dalam Asia Tenggara dan ia sangat berprestij. Semua orang mahu menjulangnya.

"Sebagai pengendali, semestinya ia menjadi salah satu sasaran anda. Ia detik bersejarah," kata Durakovic.

Berbeza dengan Durakovic, Irfan Bakti tidak pernah menjulang trofi tersebut tetapi bagi Durakovic, itu tidak bermakna anak buahnya harus gentar dengan skuad Terengganu.

"Irfan adalah seorang jurulatih yang hebat. Dia sudah melakukan segalanya bola sepak di sini," tambah Durakovic.

"Saya sangat menghormati apa yang dia lakukan bersama Terengganu dan sebab itu ia bakal aksi yang menarik.

"Kami akan datang dan menikmati perlawanan akhir. Apa sahaja yang berlaku, saya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat pemain saya dan anak buah Irfan."