Percaturan dua pasukan berstatus kelab dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia, Jumaat ini, mencetus satu fenomena baru dalam kancah bola sepak tanah air.

Bagi ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, meskipun di atas kertas tuan rumah yang juga pasukan daripada Liga Super, Felda United, dilihat dinamik dan lebih berkemampuan, beliau menyifatkan skuadnya tetap turun dengan penuh pengalaman.

"Kami banyak belajar daripada tekanan ketika beraksi menentang Kedah dalam suku akhir Piala FA lalu.

"Saya harap pengajaran daripada pengalaman itu berada di dalam diri pemain. Bagaimanapun, kesilapan akibat terlalu menghormati lawan memakan diri.

"Oleh itu, kena ada jati diri dan misi. Terjemahkan dalam perlawanan. Misi PKNP di sana (Jengka) adalah sekurang-kurangnya mencuri mata dan tidak dibolosi," katanya.

Menyentuh tentang tekanan pasukannya ketika ini, Abu Bakar berkata: "Ya, kami ada dua misi utama, Piala Malaysia dan menjadi dua pasukan terbaik Liga Perdana.

"Memang sejak dari awal, pemain telah ditanam dengan sasaran kelab. Pemain mengetahuinya dan saya berbangga mereka menerima tekanan ini dengan begitu cemerlang."