"Kami bermain seikhlas hati tanpa prejudis demi karier. "

Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berkongsi rahsia di sebalik kemahuan pemainnya untuk terus beraksi musim ini tatkala masa depan mereka tampak kabur.

Nasib pemain PKNP, termasuk barisan kejurulatihannya, ibarat 'embun di hujung rumput' apabila mereka menunggu masa untuk berpisah.

Ini berdasarkan pendirian pengurusan pasukan berkenaan yang mahu melakukan pembubaran susulan PKNP tersingkir ke Liga Perdana.

Namun, situasi itu langsung tidak mempengaruhi prestasi anak buahnya yang menyaksikan mereka kekal komited untuk terus berjuang.

Skuad PKNP mempamerkan kebangkitan dramatik dengan mengikat juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta'zim (JDT), 2-2 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

"Apa yang akan berlaku kepada pasukan, kami tetap berusaha untuk memastikan persembahan yang terbaik setiap kali turun beraksi. Pemain-pemain mempamerkan persembahan yang terbaik dan berjaya mengikat JDT dalam perlawanan ini," katanya.

Ini kali kedua skuad PKNP mengikat Harimau Selatan itu di laman sendiri selepas terikat 1-1 dalam pertemuan Liga Super, Jun lalu.

Selain kecemerlangan Yashir Pinto dan Giancarlo Rodriguez yang meledak gol, penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi, turut menjadi watak penting dalam kejayaan malam tadi.

"Kami sangat bersyukur kerana berjaya mengikat JDT dan meraih satu mata di laman sendiri. Ia merupakan usaha sepasukan meraih keputusan ini," kata Shafiq Afifi.