Piala Malaysia: Zaquan kecewa jaringan Perak dibatalkan

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2017 12766
Piala Malaysia: Zaquan kecewa jaringan Perak dibatalkan
“Ia membunuh semangat kami!” itu luahan kecewa penyerang Perak, Zaquan Adha Abdul Radzak, apabila jaringan yang dilakukan pasukannya dibatalkan pengadil sebelum mereka kecundang 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Insiden penuh kontroversi itu berlaku pada minit ke-61 ketika Perak sedang ketinggalan 1-0.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas hantaran penyerang Perak, Gilmar Da Silva, yang ditampan pertahanan JDT, S. Kunanlan, masuk ke gawang sendiri.

Namun, gol itu dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin, sekali gus mendapat bantahan pemain-pemain Perak.

Insiden itu kemudian tampak mengubah nasib The Bos Gaurus apabila dibolosi dua lagi gol sebelum tewas 0-3 dalam aksi sepenuh masa.

“Jika jaringan itu dikira, sudah pasti Perak akan mempamerkan aksi yang berbeza. Kami telah cuba sedaya-upaya untuk mencipta kemenangan,” kata Zaquan.

Sementara itu, Durakovic tidak mampu mengungkapkan dengan kata-kata mengenai insiden itu.

“Apakah yang anda mahu saya katakan katakan mengenai perkara itu?” soal Durakovic.

Durakovic, bagaimanapun, tetap berbangga dengan aksi anak buahnya yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk memberikan tentangan kepada JDT.

Apa pun, kekalahan semalam memusnahkan impian Perak untuk mara ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 2007.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, mengesahkan berlaku kesilapan dalam keputusan pengadil berhubung jaringan Perak yang dibatalkan itu.

"Dalam insiden yang berlaku, kedua-dua pemain Perak dan JDT telah melakukan larian ke arah bola tetapi pemain Perak tidak melakukan sebarang tindakan yang mengganggu pemain lawan.

"Bagaimanapun, penolong pengadil telah memberikan isyarat ofsaid dan melakukan perbincangan untuk mendapatkan kepastian. Malangnya, mereka gagal memberikan keputusan yang tepat dan jaringan tersebut harus diambil kira," jelas Subkhiddin.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen