Piala Malaysia: Tidak mustahil JDT rampas kejuaraan

Oleh Penulis Jemputan 2 November 2017 1153
Piala Malaysia: Tidak mustahil JDT rampas kejuaraan
Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, melancarkan perang psikologi terhadap lawan apabila menegaskan tiada istilah mustahil buat pasukannya untuk merampas kejuaraan Piala Malaysia daripada Kedah tahun ini.

Sejak diberi nafas baru pada 2013, pasukan dari selatan tanah air itu akan beraksi buat kali kedua dalam final Piala Malaysia selepas 2014.

Menewaskan Perak dalam separuh akhir, skuad Harimau Selatan akan berentap dengan Kedah untuk menentukan jaguh bola sepak Malaysia musim ini dalam final di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketika JDT berjaya memenangi saingan Liga Super, Kedah selaku juara bertahan pula cemerlang dengan menjulang trofi Piala FA dan Piala Sumbangsih.

"Ya kita tahu Kedah adalah juara Piala Malaysia tahun lalu, bukan mudah untuk bertemu mereka. Tetapi tidak mustahil untuk merampasnya daripada mereka," katanya.

Aksi final kali ini turut bakal menyaksikan penampilan sulung beberapa pemain JDT, antaranya pertahanan, Junior Eldstal.

Bagi pertahanan skuad kebangsaan itu, sudah pasti dia mahu melakukan penamat musim dengan kejayaan manis menjuarai Piala Malaysia.

"Kita tahu mereka adalah pasukan baik dengan memiliki musim yang baik. Mereka juga memenangi Piala FA.

"Saya tahu saya bermain buat kali pertama bersama JDT dalam final Piala Malaysia, ia satu penghormatan," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen