Penyerang Felda United, Thiago Augusto Fernandes, enggan kejayaan menjuarai Piala Malaysia bersama Kedah musim lalu mempengaruhi fikirannya dalam pertemuan separuh akhir menentang bekas pasukannya itu, bermula dengan aksi pertama di Jengka, Ahad ini.

Thiago mempunyai detik manis bersama Lang Merah musim lalu.

Hadir sebagai pemain pinjaman ketika saingan pertengahan musim, penyerang dari Brazil itu membantu Kedah meraih Piala Malaysia dengan menundukkan Selangor dalam final.

Namun, kali ini dia terpaksa menjadi musuh Kedah untuk berdepan tuntutan perlu menghampakan bekas majikannya itu bagi memastikan The Fighters mara ke babak penentuan juara.

"Ia pasti menjadi pertembungan sengit, namun saya berharap pada kali ini Felda mampu melangkah ke perlawanan akhir.

"Kedah bukan lawan yang mudah, kami harus menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri," katanya.

Thiago tampak berada di kemuncak prestasi selepas garang meledak dua gol ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk kemenangan 3-2, hujung bulan lalu.

Begitupun, dia tampak berdepan tugas sukar untuk mengekalkan prestasi terbaiknya itu susulan saingan Liga Malaysia berehat lebih daripada dua minggu.

"Rehat seperti ini ada kalanya menyukarkan tatkala kami mula mendapat rentak.

"Kami perlu mengekalkan kecergasan dan fokus," katanya.