Menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara Felda United dan Kedah, malam esok, pertahanan Kedah, Fitri Omar, mengakui percaturan taktikal pengendali The Fighters, B. Sathianathan, sukar dijangka meskipun dia pernah bersama dengan bekas jurulatih kebangsaan itu selama empat tahun sebelum ini.

Fitri pernah beraksi di bawah bimbingan Sathianathan dari 2011 hingga 2014 bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menjadi antara tonggak utama dalam The Gladiators, Fitri akan berdepan dengan jurulatih itu sebagai musuh kali ini apabila Kedah dan Felda bakal berentap di Jengka.

Meskipun mempunyai pengalaman bersama Sathianathan dalam tempoh yang lama, Fitri bagaimanapun tidak pasti pendekatan taktikal yang akan diterapkannya.

"Saya tidak tahu apa perancangannya. Uniknya, Sathianathan ada bermacam-macam helah.

"Kita tak dapat jangka apa yang dia akan buat," kata Fitri yang merupakan antara enam pemain Kedah yang terbabit dengan tugasan bersama skuad kebangsaan, baru-baru ini.

Kembali menyertai latihan kelmarin, Fitri bertekad membantu pasukannya meraih bekalan selesa untuk dibawa ke aksi timbal balik di laman sendiri nanti.

“Kedah sudah bersedia daripada segi mental dan fikzal serta akan menggunakan pengalaman yang ada.

"Sudah semestinya kami mahu mencari bekalan ke Alor Setar.”

Pertemuan esok merupakan aksi ulangan separuh akhir Piala Malaysia 2015 yang menyaksikan Lang Merah menewaskan The Fighters dengan agregat 4-3 selepas seri 2-2 di tempat lawan dan menang 2-1 di laman sendiri.