Semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pertahanan Perak, Thiago Aquino, dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak malam tadi ternyata mencuri perhatian.

Menggalas tugas berat berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam usaha membawa Perak ke aksi final Piala Malaysia, kecederaan yang dialami Aquino ketika perlawanan sedang berlangsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus beraksi sehingga tamat perlawanan.

Walaupun hidungnya mengalami kecederaan serius ekoran disiku oleh pemain lawan, dia memilih tidak mahu dikeluarkan.

Selepas berlaku pelanggaran ketika mendapatkan bola, Aquino tidak memilih untuk keluar padang dan mahu memberikan yang terbaik untuk The Bos Gaurus.

"Saya tidak fikir saya perlu menamatkan permainan. Saya sedia untuk bermain 90 minit dalam perlawanan ini. Hanya darah keluar (dari hidung) tetapi tidak menghalang saya untuk cuba (beraksi) penuh 90 minit," katanya.

"Mujur saya boleh bermain. Tetapi kami tidak bernasib baik kerana melepaskan satu gol. Kami akan mencuba lagi dan tidak sabar untuk perlawanan akan datang."

Perak mendahului perlawanan selepas Hasbullah Abu Bakar melakukan kesilapan tersepak bola masuk ke pintu gol sendiri sebelum JDT bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua hasil rembatan leret Mohammad Ghaddar pada minit ke-68.