Piala Malaysia: Safiq buru kejuaraan sulung 

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2017 1219
Piala Malaysia: Safiq buru kejuaraan sulung 
Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim, mahu memahat sejarah tersendiri dalam kariernya dengan menjulang Piala Malaysia bersama skuad Harimau Selatan, Sabtu ini, untuk bergelar antara pemain bola sepak terbaik negara sepanjang zaman.
 

Safiq adalah antara pemain disegani dalam kancah bola sepak tempatan.
 
Mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa, pemain berusia 30 tahun itu, bagaimanapun, belum pernah beroleh nikmat kejuaraan Piala Malaysia.
 
Justeru, trofi berprestij itu tampak menjadi peluang terbaik buat Safiq untuk melengkapkan koleksi peribadinya sebagai antara pemain terbaik negara.
 
“Semua pemain mahukan keputusan yang baik dan Piala Malaysia berada di Johor,” kata pemain tengah itu.
 
Untuk rekod, Safiq sudah meraih gelaran Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala AFC bersama dua pasukan berbeza dan turut cemerlang menunjangi Malaysia memenangi Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.
 
Begitupun, pemain berasal dari Kuala Selangor itu dua kali kempunan untuk menjuarai Piala Malaysia, iaitu dalam final 2008 dan 2014.
 
"Tak kira saya pernah memenanginya atau tidak, saya mahukan kemenangan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, penjualan tiket final Piala Malaysia di Stadium Larkin berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku sejak kaunter tiket mula dibuka pada jam 9 pagi tadi.
 
Penjualan tiket diatur dengan sistematik dan difahamkan sebanyak 30,000 tiket yang diperuntukkan hanya habis terjual sekitar jam 4.30 petang.
 
“Pada malam tadi, kami sudah memberi taklimat, seorang hanya akan dapat sekeping tiket. 

"Kalau keadaan menjadi kecoh dan hura-hara, itu akan memberi masalah kepada kami

"Jadi, apabila kami melakukan cara bergilir-gilir seperti ini, tiada masalah untuk semua penyokong,” kata Ketua Marshall, Muhammad Yacob.

Seorang penonton yang berjaya mendapatkan tiket berkata: "Penjualan tiket terkawal, sistem pembelian tiket kali ini lebih teratur berbanding musim-musim lalu."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen