Khas untuk peminat The Bos Gaurus, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) akan bergerak ke setiap daerah di negeri ini bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad ini.

Menurut Setiausaha Kehormat PAFA, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, ini adalah kemudahan julung kali diadakan sebagai tanda terima kasih di atas sokongan tidak berbelah bagi peminat.

"Kami nak memudahkan. Peminat tunggu di sana, kami (PAFA) datang.

"Cuma, satu daerah disediakan 1,000 tiket sahaja. Seorang lima tiket. Siapa cepat, dia dapat," ujarnya.

Dimaklumkan, jualan hanya dibuka satu hari sahaja, iaitu pada Rabu ini di Slim River, Teluk Intan, Manjung, Kerian dan Kuala Kangsar.

Keesokannya pula tiket akan dijual di kawasan Tapah, Parit, Taiping/Larut Matang dan Gerik.

"Namun, peminat tidak perlu khuatir kerana jika tiket habis di sini (daerah), peminat masih boleh mendapatkannya di pintu masuk stadium yang akan mula dijual Khamis," kata Ahmad Shahrul.

Pendekatan PAFA kali ini dilihat sebagai tindakan pro aktif persatuan dalam memudahkan peminat, terutama mereka yang tinggal jauh, dan satu cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan di kaunter tiket stadium.