Piala Malaysia: PAFA mahu separuh akhir pertama diadakan 14 Oktober ini

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2017 3498
Piala Malaysia: PAFA mahu separuh akhir pertama diadakan 14 Oktober ini
Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mahukan tarikh separuh akhir pertama Piala Malaysia berlangsung pada 14 Oktober iaitu hari Sabtu di atas faktor memberi keselesaan kepada seluruh penyokong negeri itu untuk hadir ke Ipoh.

Setiausaha Kehormat PAFA, Ahmad Shahrul Azhar, sudah memaklumkan hasrat mereka kepada Usahasama Terhad Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), namun sehingga kini masih belum ada kata putus.

Baginya, tiada hari lain yang sesuai diadakan perlawanan selain Sabtu kerana jika jatuh pada hari Ahad, ia tentu menjejaskan bilangan penonton ke Stadium Perak kerana keesokannya adalah hari bekerja.

Justeru, Shahrul mahu FMLLP turut mengambil kira pandangan pihak PAFA sebelum memutuskan tarikh rasmi aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

"Penyokong-penyokong Perak agak jauh kerana ada yang datang dari Bagan Datoh, Keriang dan Tanjung Malim dan saya faham Ipoh berada di tengah-tengah negeri," katanya.

Selain itu, dia mengesahkan PAFA dan kerajaan negeri kini dalam usaha menaik taraf Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebagai gelanggang sementara Perak pada musim 2018 ekoran Stadium Perak akan dibaik pulih untuk Sukan Malaysia 2018.

Ini termasuk menambah tahap pencahayaan lampu kepada 1200 lux serta menambah kapisiti penonton daripada 12,000 kepada 15,000.

"Alhamdulillah, Stadium Manjong juga sedang dinaik taraf oleh kerajaan negeri. Jadi Stadium Perak akan ditutup untuk penambahbaikan menjelang SUKMA 2018."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen