Piala Malaysia: Nidzam anggap Kedah tidak bernasib baik

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2017 1281
Piala Malaysia: Nidzam anggap Kedah tidak bernasib baik
“Kami kurang bernasib baik”, itu luahan ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, selain turut menyifatkan jaringan awal juga memainkan peranan kepada kekalahan mereka kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala Malaysia, semalam.

Nidzam tidak dapat menyembunyikan reaksi kecewa walaupun pemainnya telah bekerja keras sepanjang perlawanan mengekang asakan JDT.

Bagaimanapun, jaringan awal yang dicipta pasukan lawan selain beberapa peluang gagal dijelmakan selain faktor tuah turut memainkan peranan, Kedah terpaksa menerima hakikat mereka gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

"Selepas ketinggalan 2-0, kami cuba menyegarkan permainan, cuba menyerang daripada bahagian sayap dan menggunakan pemain pantas, namun saya menganggap kami kurang nasib baik kerana tidak dapat menjaringkan gol," katanya.

Sementara itu, Nidzam menafikan punca beliau tidak menyenaraikan Syafiq Ahmad kerana ada kaitan penyerang itu bakal berhijrah ke JDT musim depan.

Jelas Nidzam, beliau mempunyai perancangan taktikal tersendiri memilih Ahmad Fakri Saarani dan Muhd Farhan Roslan di bangku simpanan jika penyerang utama, Ken Ilso, mengalami kecederaan.

"Syafiq Ahmad memainkan komitmennya di dalam dan luar padang walaupun saya pasti dia akan menyertai pasukan lain musim depan. Farhan, sebagai pemain pantas, yang kami perlu guna dan kami lihat Fakri Saarani adalah pemain berpengalaman (pemain pilihan) daripada Syafiq sekiranya Ken Ilso tercedera dalam perlawanan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen