Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais, meyifatkan pasukannya berhak meraih kemenangan 2-0 ke atas Kedah untuk menjuarai Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

"Kami layak memenangi perlawanan ini kerana JDT telah memulakan separuh masa pertama dengan menghasilkan banyak peluang. Dalam babak kedua, Kedah memberi tentangan sengit selepas mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Harimau Selatan meranapkan impian Kedah untuk mempertahankan kejuaraan hasil jaringan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Gonzalo Cabrera bagi menamatkan penantian 26 tahun buat JDT.

Juara Liga Super itu membuat kejutan apabila menurunkan Ahmad Hazwan Bakri selaku penyerang utama dan meletakkan Mohammed Ghaddar di bangku simpanan selain turut membariskan Gary Steven Robbat.

Perancangan Morais tampak menjadi pada awal perlawanan apabila jaringan pertama berjaya dijelmakan pada minit ketiga selepas sepakan penjuru diambil Safiq Rahim ditanduk kencang Aidil.

Jaringan itu menjadi pembakar semangat JDT yang berpeluang menggandakan kedudukan apabila umpanan Hazwan kepada Gabriel Guerra pada minit ke-22, namun Ifwat Akmal cemerlang menyelamatkan keadaan.

Pada babak kedua, Kedah memperkemaskan permainannya dan berjaya mencipta peluang terbaik melalui Baddrol Bakhtiar pada minit ke-56, cuma palang menjadi penghalang hajat skuad Lang Merah untuk menyamakan kedudukan.

Malam gemilang JDT semakin nyata apabila Cabrera memahatkan gol kedua pada minit ke-63 sebaik pantas menolak masuk bola hantaran Hazwan di dalam kotak penalti.

Nasib terus tidak berpihak kepada Kedah apabila kali ini tiang pula menjadi penghalang Baddrol untuk memecah kebuntuan pada minit ke-67 walaupun penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, sudah tertewas.

Sejak detik itu, nyata api perjuangan Kedah semakin malap sehingga penghujung perlawanan manakala kira-kira 30,000 penyokong JDT berpesta meraikan kejayaan bersejarah buat mereka.

"Sepakan percuma dan serangan balas daripada lawan berlaku pada awal perlawanan, ia mengganggu fokus dan rentak kami," kata ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

"Mungkin rezeki saya dapat bermain dalam final tiga kali. Alhamdullillah, malam ini (semalam) kami dapat mencipta kemenangan. Saya dapat menebus kekecewaan tahun lalu ketika beraksi bersama Selangor," kata Hazwan.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberi saya peluang bermain. Saya gembira dapat memenangi Piala Malaysia bersama JDT. Saya sangat gembira," kata pemain tengah, Gary Steven Robbat.

"Kalau anda hanya menguasai permainan secara individu tetapi bukan taktikal, anda dihukum. Anda cuba menjaringkan gol, mereka hanya mempunyai satu peluang dan mereka berjaya menyempurnakannya dan kemudian gol kedua. Saya sangat kecewa," kata pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi.