Piala Malaysia: Masa depan Nidzam bersama Kedah jadi tanda tanya

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2017 286
Piala Malaysia: Masa depan Nidzam bersama Kedah jadi tanda tanya
Kegagalan Kedah mempertahankan Piala Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) menguatkan lagi khabar angin yang membawa kepada pelepasan jawatan ketua jurulatih yang kini dipegang Nidzam Adzha Yusof.

“Saya terima jawatan ini secara rela paksa,” kata Nidzam, yang sudah cukup untuk menggambarkan gerak hatinya yang mungkin tidak lagi mengendalikan Kedah musim depan.

Tegas Nidzam, Kedah sebagai pasukan elit memerlukan seorang jurulatih yang memiliki karakter dengan mencontohi pengendali terdahulu, Tan Cheng Hoe, yang kini berkhidmat bersama skuad kebangsaan.

“Secara jujurnya, sememangnya saya memikul tanggungjawab ini sebagai "rela paksa" lah. Apapun, kerjasama telah diberikapan oleh pemain-pemain, staf kejurulatihan, pegawai perubatan dan sokongan daripada pihak pengurusan. Saya rela untuk membawa (jawatan) ketua jurulatih dengan baik,” jelas Nidzam.

Seakan-akan ada sesuatu yang terbuku di hati Nidzam, pengendali yang mementingkan soal demokrasi dalam pasukan ini seolah-olah memendam rasa yang sukar untuk diluahkan.

Bagaimanapun, Nidzam menegaskan dirinya masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi cabaran pada musim depan.

"Saya berpuas hati untuk memikul tanggungjwab ini walaupun sementara. Untuk musim depan, saya lepaskan (menyerahkan) kepada pihak pengurusan untuk menentukan perancangan bagi 2018," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen