Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari, menyifatkan kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) umpama mengulangi memori luka 2015 apabila mereka tewas dengan angka jaringan yang sama di pentas akhir Piala Malaysia kepada Selangor.

Khairul Helmi, yang memiliki pengalaman beraksi di tiga pentas final, memohon maaf kepada penyokong Kedah atas kekalahan 2-0 kepada JDT kerana ia seolah-olah mengimbau kekalahan dua tahun lalu.

Begitu hampa kerana gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu, dia dalam masa sama tetap berasakan Kedah telah melakukan yang terbaik sepanjang tahun ini kerana bukan sesuatu yang mudah untuk layak ke pentas akhir.

"Jujurnya, sudah pasti kami berasa kecewa kerana kami berhasrat untuk mengekalkan piala itu. Bukan senang untuk sampai ke final.

"Kami yang berada dalam pasukan tahu bagaimana sukarnya untuk ke final. Ia amat mengecewakan tetapi saya berpuas hati dengan usaha rakan sepasukan," katanya.

Mengenai musim depan, Khairul Helmi masih berharap keseluruhan pemain Kedah akan terus kekal bersama pasukan.

Walaupun mengetahui mungkin akan ada beberapa pemain melangkah pergi, dia berharap kekuatan yang terbina dalam pasukan sejak beberapa musim lalu tetap akan utuh untuk beberapa musim lagi.

"Untuk tahun depan, saya tidak boleh halang mana-mana pemain untuk kekal di Kedah. Kalau ada rezeki bersama Kedah, kami akan menambahkan lagi usaha pada tahun depan," ujarnya.