Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia, Gonzalo Cabrera, mengakui kehadiran ahli keluarganya dari Argentina menjadi pemangkin utama terhadap kecemerlangannya ketika bertemu Kedah di Shah Alam.

Cabrera muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila meledak jaringan kedua untuk mengesahkan kemenangan pasukannya, sekali gus memastikan trofi beprestij itu kembali ke bumi Johor sejak 1991.

"Sudah tentu saya gembira. Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan sepasukan dan kepada penyokong yang datang ke stadium. Kami menjadi juara. Sangat menarik.

"Kami bermain bersungguh-sungguh. Adalah sangat menarik menjaringkan gol pada hujung perlawanan," katanya.

Sementara itu, perasaan gembira pemain-pemain JDT memenangi Piala Malaysia turut dikongsi ahli keluarga mereka yang turut hadir memberikan sokongan dari luar padang.

Rata-rata ahli keluarga pemain menyuarakan rasa bangga dengan kejayaan Harimau Selatan itu.

Hampir semua keluarga pemain JDT berada di Stadium Shah Alam bersorak memberi sokongan.

“Ia adalah pengalaman yang baik. Kelab ini mempunyai peminat yang ramai. Saya sangat gembira dan Cabrera juga memberi aksi terbaik dalam perlawanan,” kata isteri Cabrera, Gala Hegoburu.

“Alhamdullillah, ia adalah satu rezeki. Tidak sangka Aidil dapat bermain hari ini, bermain dalam final dan dia (Aidil) menjaringkan gol. Saya menganggap doa dimakbul Allah,” kata isteri Aidil, Zarema Zainal.

“Anak saya (Fazly Mazlan) pun bermain pada malam ini. Jadi, saya sebagai bapanya berasa bangga kerana dapat mendakap piala ini,” kata bapa Fazly Mazlan, Mazlan Majid.