Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, membuktikan pasukannya memiliki sentuhan magis selepas 'barisan kejutan' yang ditampilkannya membuahkan hasil menerusi kemenangan 2-0 ke atas Kedah dalam aksi final Piala Malaysia, semalam.

Morais membuat kejutan dalam kesebelasan utamanya apabila menurunkan pemain yang jarang beraksi sebelum ini.

Ia membabitkan tiga pemain di tiga posisi berbeza -- penyerang, Ahmad Hazwan Bakri, Gary Steven Robbat (tengah) dan Aidil Zafuan Abdul Radzak (pertahanan).

Mereka menggantikan tempat Mohamed Ghaddar, Afiq Fazail dan Junior Eldstal untuk posisi masing-masing.

Percaturan itu tampak memberi kesan terhadap corak permainan lawan yang serba tidak menjadi dalam aksi 90 minit permainan.

"Saya tidak mahu mengatakan ia barisan kejutan kerana saya selalu mengingatkan kepada pemain-pemain saya, mereka semua berpeluang untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Tapi apa yang kami lalukan dalam perlawanan ini berjaya membuahkan hasil, jadi ia sangat bagus untuk kami." kata Morais.

Lebih menarik, Aidil yang kerap tersisih sebelum ini berjaya melakukan jaringan untuk gol pertamanya dalam empat penampilan beraksi dalam final Piala Malaysia.

“Alhamdullillah, ia rezeki saya. Jurulatih telah memberikan kepercayaan untuk beraksi dalam final dan saya memberikan sehabis baik dengan pengalaman yang ada untuk Piala Malaysia ini,” kata Aidil.

"Saya telah memberikan semua pengalaman yang saya miliki dalam perlawanan akhir ini."