Pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Fadhli Shas, enggan kempunan buat kali kedua dalam misi menjulang trofi Piala Malaysia apabila skuad Harimau Selatan berentap dengan Kedah untuk merebut kejuaraan 2017 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Perlawanan akhir edisi 2014 sememangnya menjadi memori pahit buat warga JDT, termasuk Fadhli.

Menunjangi benteng akhir Harimau Selatan, impian Fadhli untuk meraih gelaran sulung kejohanan itu tidak kesampaian apabila JDT dikecewakan Pahang dengan kekalahan 5-3 dalam penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam permainan sebenar.

Namun, peluang itu datang lagi kali ini dan Fadhli bertekad menebus kekecewaan tiga tahun lalu untuk membawa pulang trofi berprestij itu ke bumi Johor sambil memburu gelaran kedua selepas menjuarai Liga Super musim ini.

“Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pada 2014, kami hampir menang. Kali ini, semua pemain tahu tanggungjawab masing-masing dan ingin membawa pulang Piala Malaysia ke negeri Johor,”
katanya.

Berada di kemuncak prestasi, Fadhli dijangka bergandingan dengan Junior Eldstal untuk mengekang asakan Lang Merah dalam aksi final nanti dalam usahanya melengkapkan koleksi kejuaraan peribadi.

“Saya masih tiada lagi kejuaraan Piala Malaysia. Memang saya mahu sangat untuk menjulangnya bagi tujuan koleksi peribadi dan juga pasukan,” katanya.