Impian rakyat menyaksikan Piala Malaysia yang dimenangi Perak pada 27 Oktober lalu akan menjadi kenyataan apabila trofi brrprestij itu diraikan dalam Larian Hari Keputeraan Sultan Perak, Ahad ini.

Pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, itu sekali gus menamatkan spekulasi serta penantian orang ramai mengenai majlis sambutan trofi unggul yang dimenangi Perak selepas 18 tahun itu apabila menumpaskan Terengganu 4-1 melalui sepakan penalti di Stadium Shah Alam.

"Kerajaan negeri menjemput semua rakyat negeri ini untuk bersama-sama meraikan dua sambutan dalam larian berkenaan, iaitu menyambut Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan melihat sendiri Piala Malaysia yang akan diarak dalam sambutan itu."

Tambahnya, semua pemain (skuad juara Piala Malaysia) dan trofi akan diarak bersama Sultan Perak.

“Jemput orang ramai dengan berpakaian sukan datang beramai-ramai Ahad ini bagi bersama-sama meraikan dua hari bersejarah negeri (Hari Keputeraan Sultan dan meraikan juara Piala Malaysia).

“Saya sudah menyembahkan perkara itu kepada Sultan Nazrin dan baginda berkenan bersama-sama meraikan kejayaan itu dan baginda akan menganugerahkan pingat kepada pemain sehari sebelum itu,” katanya dalam sidang media selepas menjadi deejay jemputan di konti radio Perakfm, pagi tadi.

Turut menjadi tetamu jemputan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri, A. Sivanesan.

Ahmad Faizal yang lebih dikenali dengan panggilan Peja meminta penyokong yang meminta Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, meletakkan jawatan supaya mengawal emosi.

Katanya, beliau menerima pandangan daripada penyokong dan sudah berbincang dengan Hasnul mengenai beberapa perkara sebelum mencari jalan penyelesaian bagi meredakan kemarahan penyokong.

“Penyokong perlu mengawal emosi dan memikirkan cara terbaik menguruskan kejayaan kerana kita akan bertanding di peringkat lebih besar selepas ini, iaitu Piala AFC.

“Justeru, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi meredakan kemarahan ini, sekali gus membolehkan pasukan fokus untuk kejayaan seterusnya,” katanya.