Piala Malaysia: Bukan silap Shahrom -- Durakovic

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2017 1258
Piala Malaysia: Bukan silap Shahrom -- Durakovic
"Saya tidak mahu salahkan Shahrom Kalam!" Demikian kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang masih mempertahankan ketua pasukannya itu selain memberi jaminan bahawa Perak akan bangkit dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Larkin.

Ini bukan merupakan kesilapan kali pertama dilakukan Shahrom bersama pasukan, namun kali ini ia seperti sukar diterima seluruh penyokong Perak.

Jika tidak kerana kecuaiannya pada minit ke-68, Perak mungkin dapat menghalang Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada meraih gol di laman lawan.

Bagaimanapun, Durakovic tidak mahu menyalahkan Shahrom sepenuhnya selain akan cuba memulihkan kembali moral ketua pasukannya itu sebelum ke Larkin.

"Shahrom adalah pemain yang hebat, dia adalah kapten saya dan juga pemain kebangsaan. Ia adalah normal, manusia melakukan kesilapan.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa, saya cuma memikirkan pemain saya memberikan 100 peratus pada malam ini. Saya berpuas hati dengan persembahan keseluruhan," kata Durakovic.

Sementara itu, kapten JDT, Safiq Rahim, berpuas hati dengan keputusan seri itu kerana menyedari ia bukan satu tugasan mudah menentang Perak di Ipoh.

"Saya mahukan keputusan positif, kami mahukan keputusan positif, JDT pun mahukan keputusan yang baik.

"Tetapi inilah bola sepak, ada keputusan baik dan tidak baik. Jadi, kami bersyukur. Walaupun tidak menang, kami meraih keputusan seri untuk bekalan di Larkin nanti," jelasnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen