Piala Cabaran: TFC II bawa pulang kelebihan tipis 

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2018 427
Piala Cabaran: TFC II bawa pulang kelebihan tipis 
UKM FC 2 TFC II 2

Kelebihan perlawanan akhir kedua Piala Cabaran kini memihak Terengganu FC (TFC) II selepas mengikat UKM FC 2-2 dalam pertemuan pertama di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. 


Di sebalik reputasi sebagai 'underdog', UKM mempamerkan penguasaan 60 peratus, namun TFC II yang dikemudi Tengku Hazman Raja Hassan, mampu mengimbangi permainan menerusi jaringan dalam perlawanan yang berlangsung di atas padang becak. 

Hujan sejak tiupan wisel pertama mengganggu kelancaran permainan, namun TFC II berada di hadapan menerusi lambungan cantik Sharin Sapien yang gagal dijangkau Nor Haziq Mohd Aris pada minit ke-31.

Tersentak dengan jaringan itu, kedudukan kembali seimbang apabila Michael Ijezie menghukum kealpaan benteng pelawat. 

UKM melancarkan serangan balas yang disudahkan dengan tenang oleh pemain import itu dengan tolakan yang melalui celah kaki penjaga gol TFC II pada minit ke-36. 

UKM terus mengatur asakan dalam babak berikutnya dan memimpin permainan selepas usaha pemain import TFC II dari Haiti, Sebastien Thuriere, untuk mengeluarkan bola dari kawasan penalti berakhir ke gawang sendiri. 

Situasi itu, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat TFC II apabila bangkit berselang seminit. 

Pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle, bijak mencari posisi terbaik untuk menerpa hantaran di depan pintu gol itu untuk mengikat kedudukan 2-2. 

UKM, bagaimanapun, terlepas satu peluang menarik pada penghujung permainan apabila tandukan Waheed Akanni terkena tiang gol dalam situasi kelam-kabut.

"Kami sememangnya merancang sebegini untuk perlawanan ini disebabkan kecederaan yang melanda tonggak utama kami di bahagian tengah.

"Oleh itu, kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan," kata Tengku Hazman. 

Jurulatih UKM, Sulaiman Hussein, pula menerima keputusan ini dan tetap optimis dengan aksi final kedua, Isnin depan. 

"Ini satu perlawanan yang seimbang. 

"Walaupun TFC II mempunyai kelebihan gol di tempat lawan, kami akan menyambung aksi di Kuala Terengganu nanti. 

"Dengan padang yang becak, ia sedikit mengganggu rentak kami. 

"Namun, itu bukan alasan. Kami akan membuat persiapan untuk bertandang ke Kuala Terengganu dan akan buat yang terbaik di sana nanti."


 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen