Kemenangan 1-0 yang diraih Selangor United ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Kumpulan B, Piala Cabaran di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi, mengubat duka pasukan berkenaan yang mempamerkan aksi hambar dalam penyertaan sulung mereka.

Ketua jurulatih Selangor United, Abdul Talib Sulaiman, menjelaskan keputusan positif berkenaan merupakan satu kemenangan moral kepada pemainnya yang boleh dilabelkan sebagai ‘pasukan belasahan’ selepas gagal mencatat sebarang kemenangan pada empat perlawanan terdahulu selain turut melepaskan 10 gol.

Bekas pemain kebangsaan itu mendedahkan perlawanan berkenaan menjadi medan untuk dirinya memilih barisan terbaik yang akan mewakili Selangor United dalam saingan Liga Perdana 2020.

"Apa yang dipraktikkan dalam sesi latihan telah diterjemahkan pemain dalam perlawanan ini dan kemenangan ini membuktikan kami juga mampu bersaing dengan pasukan Kuala Lumpur yang beraksi dalam Liga Super.

"Keputusan ini melonjakkan moral pemain dan walaupun kami sudah tidak layak ke separuh akhir, sekurangnya-kurangnya kami mendapat tiga mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus, berkata beliau berpuas hati dengan komitmen dan persembahan yang dipamerkan barisan kedua skuad Warga Kota itu yang diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

"Kebanyakan pemain pertama kali diberi peluang bermain dan saya rasa tiada isu daripada segi komitmen pemain, cuma kami tidak sempurnakan peluang untuk menjaringkan gol," jelasnya yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

Dalam aksi di Cheras itu, Rafiq Shah Zaim menjaringkan gol tunggal untuk Selangor United pada minit ke-67.

Untuk rekod, Selangor United dan Kuala Lumpur sudah tidak layak ke separuh akhir Piala Cabaran setelah mengutip tiga mata selepas lima perlawanan.

Juara bertahan, Terengganu FC II dan UKM FC, yang sudah menempah tiket ke separuh akhir daripada Kumpulan B akan berentap di venue yang sama, malam ini.

-- BERNAMA