Penyerang muda UKM FC, Faiz Hanif Adnan, terharu dengan kepercayaan yang sentiasa diberikan pengendali, Sulaiman Hussein, yang menurunkannya dalam kesebelasan utama walaupun sentiasa ditimpa kecederaan musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu muncul wira UKM dengan gol kemenangan dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Pasir Gudang.

Walaupun dikenali pemain berskil tinggi, satu masalah utama buat Faiz ialah dia mudah mendapat kecederaan, terutama di bahagian buku lali.

Kini, harapan utamanya ialah mahu membantu UKM muncul juara buat kali pertama dalam sejarah menjulang Piala Cabaran.

"Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi peluang kepada saya.

"Kami sudah bekerjasama selama empat tahun, dia tahu kemampuan sebenar saya biarpun sedar saya kurang cergas dan mudah dilanda kecederaan.

"Oleh itu, saya ingin membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih," katanya.

Sementara itu, bekas pemain Melaka United dan Sime Darby, Mohd. Akmal Zahir, sudah tidak sabar berentap dalam final Piala Cabaran yang akan menjadi aksi sulung dirinya di pentas akhir.

Sungguhpun turun sebagai status 'underdog', semangat berpasukan dimiliki UKM bakal menjadi aset penting untuk menggempur kekuatan Terengganu II di Stadium Shah Alam, malam ini.

"Setakat ini persiapan kami berjalan lancar.

"Semua pemain memberikan semangat 100 peratus untuk merebut peluang beraksi.

"Kami bergerak dengan seluruh unit, itu membuatkan kami lebih mantap," kata Akmal.