Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, barisan pertahanan Kedah yang diketuai Khairul Helmi Johari menanam keazaman tinggi untuk memastikan kubu Lang Merah kebal ketika berdepan Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Kedah dijangka membariskan pemain seperti Rizal Ghazali, Bang Sung Hwan, Khairul Helmi dan Azmeer Yusof di bahagian pertahanan.

Ia dilihat antara kombinasi yang mantap, terutama gandingan Sung Hwang dan Khairul Helmi serta kelibat Rizal yang kini berada di kemuncak prestasi.

Malah, pertahanan muda, Syawal Nordin dan Asri Mardzuki, juga tampak mampu untuk menggalas misi pasukan menerusi aksi yang meyakinkan ketika diberi peluang beraksi sebelum ini.

"Kombinasi bahagian pertahanan kami tampak lebih bagus daripada musim lalu kerana kehadiran pemain seperti Rizal, Ariff, Khairul Helmi dan pemain import, Bang," ujar pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe.

Kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi, berharap mereka mampu untuk mempamerkan permainan yang terbaik dan membawa pulang Piala Malaysia ke negeri Jelapang Padi.

"Tahun ini final sekali lagi kami bertemu Selangor, kami berharap untuk melakukan yang terbaik dan seterusnya merangkul piala," jelasnya.

Sementara itu, Azmeer optimis mampu mengimbangi kekuatan bahagian pertahanan. Dia mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ariff Farhan, yang mengalami kecederaan.

Dia melakukan persiapan tersendiri untuk menghadapi pertemuan getir itu.

"Mentaliti saya untuk minggu ini adalah saya membayangkan bagaimana corak permainan yang mungkin akan dipersembahkan oleh Andik (Vermansah) dan Gopinathan.

"Sebelum ini, saya pernah mengawal Andik atau Gopi, sekurang-kurangnya saya mengetahui bagaimana cara larian mereka," kata Azmeer.