Perak pilih laluan sukar gara-gara kesilapan sendiri

Oleh Hairi Yahaya 16 Oktober 2017 2163
Perak pilih laluan sukar gara-gara kesilapan sendiri
Kemeriahan 28,000 peminat The Bos Gaurus seperti direntap apabila ketua pasukan Perak, Muhammad Shahrom Kalam, tersilap langkah sehingga membenarkan penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohammed Ghaddar, merobek gawang untuk gol penyamaan 1-1 dalam separuh akhir pertama di Ipoh, semalam.

Keputusan ini tampak mencetuskan laluan berliku buat Perak apabila berkunjung ke kubu kebal JDT di Larkin untuk aksi timbal balik, Sabtu ini.

"Semestinya dibolosi di sini adalah igauan ngeri pasukan tuan rumah," tegas ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

"Mujur kami mencatat keputusan seri dan ada 90 minit lagi untuk membuat perhitungan di Larkin.

"Memang tidak mudah dengan senarai kecedaraan kem Perak sekarang.  Kita lihat nanti," katanya.

Untuk rekod, kesilapan hampir sama pernah dicetuskan Shahrom ketika aksi Liga Super menentang Selangor dan Felda United, Julai lalu, yang mengundang pelbagai spekulasi mengenai prestasinya.

Mengenai prestasi ketua pasukannya itu, Mehmet jelas mempertahankan situasi berkenaan.

"Manusia melakukan kesalahan dan inilah bola sepak.  Kami bermain untuk menang sama-sama dan begitu juga sebaliknya. Saya yakin Perak kini hanya fokus untuk perlawanan seterusnya. Memang pahit tetapi kena terima hakikat.

"Selepas perlawanan ini, apabila keadaan kembali tenang, kami semua akan duduk berkumpul. Kami akan bincangkan perkara ini," tambahnya.


 

Tentang Penulis

Hairi Yahaya

Komen