SABAH 2 PERAK 2
(Perak mara ke final dengan agregat 7-2)


Perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini akan menyaksikan pertemuan Terengganu FC (TFC) dengan Perak selepas The Bos Gaurus menang dengan agregat 7-2 walaupun sekadar seri 2-2 dengan Sabah dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Likas,, sebentar tadi.

Walaupun memiliki 'bekalan selesa', Perak lebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah menerusi Gilmar Jose Da Silva Filho, namun, percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, dalam keadaan satu lawan satu.

Rozaimie sekali lagi menjadi penyelamat tuan rumah apabila menyelamatkan percubaan Muhammad Firdaus Saiyadi, juga dalam keadaan satu lawan satu.

Pada minit ke-34, Sabri Sahar menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pertama untuk pasukannya hasil penyudah baik di dalam kotak penalti selepas satu sepakan sudut daripada Elias Sulaiman bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Gol itu kemudian mencetuskan semangat Sabah untuk terus memburu jaringan dan hampir memperolehnya pada minit ke-38 hasil sepakan percuma Elias, bagaimanapun ia diselamatkan penjaga gol lawan dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Bermula separuh masa kedua, Sabah terus berusaha untuk menambah gol dan mendapat peluang baik pada minit ke-67, namun tandukan Rodoljub Paunovic tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-74, Gilmar menambah kesukaran Sabah apabila menjaringkan gol penyamaan Perak menerusi sepakan penalti selepas Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dijatuhkan Rozaimie di dalam kotak penalti.

Gilmar kemudian menambah derita Sabah apabila meledak gol kedua pada minit ke-80 hasil satu penyudah baik selepas memperdayakan penjaga gol Sabah bagi menjadikan kedudukan berpihak kepada mereka 2-1.

Ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil, kemudian menyelamatkan pasukannya daripada kecundang di gelanggang sendiri apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-85 bagi menjadikan kedudukan 2-2 dan kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri, membunyikan wisel penamat.