SABAH 2 PERAK 2
(Perak mara dengan agregat 7-2)

Kelebihan agregat membawa Perak melangkah ke final Piala Malaysia biarpun terikat seri 2-2 dengan Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, dalam aksi separuh akhir kedua malam tadi.


Sabah melayani kunjungan Perak sambil membawa misi sukar untuk mengatasi agregat 0-5 setelah tewas dalam separuh akhir pertama, 7 Oktober lalu.

Perkara sebaliknya berlaku dengan pelawat lebih menguasai permainan

Perak dihidangkan dua peluang keemasan dengan Leandro Oliviera gagal menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-10.

Pada minit ke-20 perlawanan, rembatan Gilmar Da Silva pula ditepis Rozaimie.

Selepas melewati 34 minit perlawanan, Sabah mencetak jaringan menerusi Sabri Sahar yang merupakan gol pertamanya dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Perak cuba menambah gol untuk melebarkan kedudukan agregat dalam babak seterusnya.

Peluang itu hadir pada minit ke-77 selepas Ahmad Kharil Annuar Ahmad Zamri dijatuhkan Rozaimie di dalam kawasan penalti.

Gilmar mudah menyempurnakan jaringan itu untuk mengikat keputusan 1-1 bagi menjadikan kedudukan agregat 6-1.

Perak semakin selesa apabila Gilmar sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-81.

Sabah tidak mengalah, dengan Rawilson Batuil kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi satu tandukan daripada sepakan penjuru pada minit ke-85.

Meskipun kedudukan terikat 2-2 selepas tamat permainan, Perak layak ke perlawanan akhir menerusi kelebihan agregat 7-2.

"Alhamdulillah, kami tahu ini bukan kejayaan yang mudah.

"Kami melalui pelbagai rintangan dalam kempen musim ini, namun akhirnya kami berjaya ke final," kata kapten pasukan Perak, Shahrul Saad.

Bagi ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, dia tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukannya dalam kempen musim ini.

"Walaupun kami tidak layak ke final, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukan saya.

"Kami mencapai sasaran untuk ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini," ujarnya.