SABAH 1 PERAK 1

Perak melangkah ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas mengikat Sabah 1-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu mengakhiri peringkat kumpulan di tangga kedua selepas mengumpul sembilan mata daripada enam perlawanan, sekali gus meraih hak untuk mengiringi Pahang.

Perlawanan itu menyaksikan Perak menguasai hampir keseluruhan permainan dalam babak pertama dan berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-25.

Gol itu berpunca hasil hantaran cantik Nazirul Naim Che Hashim ke dalam kotak penalti yang kemudian disudahkan dengan baik oleh Ronaldo Henrique Silva bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Skuad The Bos Gaurus itu kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-34 menerusi percubaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi di dalam kotak penalti, namun ia sedikit tinggi.

Tiga minit kemudian, penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, pula menjadi penghalang kepada Perak apabila menyelamatkan rembatan J. Partiban dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat.

Bermula babak kedua, tuan rumah memulakan permainan dengan lebih garang dan berjaya menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-48 menerusi tandukan Maxsius Musa yang menerima hantaran sepakan percuma Mohd Azzizan Nordin.

Skuad Tambadau kemudian hampir berada di depan pada minit ke-71, namun tandukannya tepat ke arah penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Dua minit kemudian, giliran Perak mencemaskan pintu gol Sabah hasil tandukan Shahrel, bagaimanapun Rozaimie bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan.

Kedudukan 1-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, meniupkan wisel penamat.

Sementara itu di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang gagal menamatkan saingan dengan kemenangan di laman sendiri apabila tewas 2-0 kepada Pahang.

Tiada jaringan terhasil dalam separuh masa pertama sebelum anak buah Dollah Salleh, yang sudah melayakkan diri ke suku akhir, berjaya meledak dua gol menerusi Herold Goulon pada minit ke-52 sebelum jaringan sendiri yang dilakukan oleh A. Segar.

Dalam saingan Kumpulan D, kemenangan 2-0 ke atas Felda United membenarkan Selangor muncul juara kumpulan. Jaringan yang dihasilkan oleh Idefayo Olusegun dan Khyril Muhymeen Zambri membenarkan skuad bimbingan B. Sathianathan itu menempah slot ke suku akhir berdepan Perak.

Melaka, yang mendahului Selangor sebelum itu, menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai naib juara apabila mereka terikat 2-2 dengan PDRM di Stadium Hang Jebat, dan bakal bertemu Pahang dalam suku akhir.

KEPUTUSAN LAIN:

FELDA UNITED 0 SELANGOR 2
PDRM 2 MELAKA UNITED 2
PULAU PINANG 0 PAHANG 2