Tatkala penyokong bolasepak Malaysia mula mengalih fokus ke Piala Malaysia, dengan harapan melihat pasukan masing-masing mencipta kejutan, penyokong Perak digemparkan dengan berita yang kurang enak.

Perak akan turun beraksi di pentas Piala Malaysia tanpa pemain pertahanan import, Antony Golec, yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan dan pulang ke Australia.

Semalam, Golec seolah-olah memberi gambaran telah meninggalkan pasukan, melalui foto yang dimuat naik ke laman instagram peribadinya dan hari ini, pemain tersebut mengesahkan berita tersebut benar dalam temu bual ekslusif bersama Nadi Arena.

Mengapa tinggalkan pasukan secara tergesa-gesa? Wujud unsur tidak puas hati dengan pihak pengurusan perak?

"Persetujuan antara saya dan pihak pengurusan gagak dicapai dan ia merupakan punca saya mengambil langkah untuk berhijrah," kata Golec.

Golec, yang berlepas 23 Oktober lalu dan kini sedang menjalani kuarantin di Adelaide, memohon maaf kepada penyokong dan rakan sepasukannya, kerana meninggalkan pasukan di saat getir.

"Perkara ini sudah pasti membuatkan rakan sepasukan dan penyokong kecewa namun saya tetap menghormati pandangan mereka. Saya dan pihak pengurusan gagal mencapai persetujuan dan meninggalkan pasukan adalah langkah terbaik buat saya maju ke hadapan."

Biarpun tidak dapat beraksi di pentas kejohanan berprestij itu, Golec tetap akan mengikuti perkembangan Perak dalam saingan Piala Malaysia dan berpendapat Perak mempunyai kualiti untuk muncul juara tahun ini.