Sekalipun terikat 1-1 (agregat 5-2) menentang Melaka United, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan untuk mengetuai kelompok empat pasukan mara ke separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Larkin, malam ini.

Tiga lagi pasukan, Felda United, Kedah, Perak, turut kekal berada dalam kejohanan itu selepas menumbangkan lawan masing-masing dalam suku akhir.

Bagaimanapun, Felda dan Perak menjadi pasukan paling cemerlang pada malam ini apabila berjaya bangkit selepas kalah dalam suku akhir pertama.

Selepas tewas 1-3 Sabtu lalu, Perak beraksi garang dengan menewaskan Pahang 4-0 (agregat 5-3) dalam suku akhir kedua di Ipoh.

Selain itu, Felda juga mengetepikan keputusan 1-3 dengan melakar kemenangan 4-1, sekaligus mengatasi PKNP FC dengan agregat 5-4.

Sementara itu, Kedah mengekalkan rentak kemenangan selepas menyingkirkan Selangor 1-0 (agregat 4-2).

JDT, yang menewaskan Melaka 4-1 dalam suku akhir pertama Jumaat lalu, turun penuh yakin dengan mampamerkan aksi bersahaja dalam aksi timbal balik di laman sendiri.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memburu gol awal -- disudahkan Nazmi Faiz Mansor selepas dia membuat tindakan susulan terhadap percubaan pertama daripada Darren Lok.

Peluang terbaik Melaka hadir pada minit ke-32 akibat kelalaian barisan pertahanan dan penjaga gol JDT, malangnya tindakan susulan R. Surendran sedikit lewat untuk menghasilkan jaringan penyamaan.

Gol yang dinanti-nantikan Melaka muncul pada minit ke-44 selepas dihadiahkan sepakan penalti ekoran bola terkena tangan S. Kunanlan. Felipe De Souza mudah menyempurkannya untuk mengimbangi kedudukan.

Beraksi tanpa pemain utama, antaranya Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim dan Mohammed Ghaddar, JDT nyata berhempas-pulas untuk menambah jaringan sehingga kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.