Suka atau tidak, Perak perlu menang ke atas Pulau Pinang di Stadium Perak malam esok jika ingin mempunyai peluang meneruskan kemaraan daripada Kumpulan C, sekali gus berpeluang mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu.

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic, mengakui kekalahan 3-0 di tangan Pahang di Kuantan, minggu lalu amat meruntun perasaan.

"Memang Pahang menjadikan perlawanan itu untuk menebus kekecewaan tumpas kepada Perak dalam separuh akhir kedua Piala FA lalu.

"Mereka bermain dengan baik dan berjaya memusnahkan kami dengan tiga jaringan gara-gara tiga kesilapan kami,

"Selepas kalah kepada Pahang, kami tiada pilihan melainkan mengutip mata penuh malam esok untuk berpeluang merebut tempat ke suku akhir," kata Durakovic.

Jurulatih itu, bagaimanapun, menyedari tugas berat yang menanti Perak dalam perlawanan itu kerana Pulau Pinang bukan calang-calang pasukan.

"Perlawanan ini pasti tidak mudah kerana Pulau Pinang sudah membuktikan kehebatan mereka.

"Mereka sepatutnya muncul naib juara Liga Perdana musim ini jika tidak kerana tindakan potong mata yang dikenakan oleh FIFA terhadap mereka.

"Lagipun, harus diingat ini kejohanan berbeza. Percayalah cakap saya semangat Piala Malaysia berbeza.

"Jadi, Perak tidak boleh anggap mudah perlawanan ini, " tambah Durakovic.