PERAK 3 PAHANG 1

Perak mencerahkan peluang melangkah ke suku Piala Malaysia 2019 daripada Kumpulan C apabila menumpaskan Pahang 3-1 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.


Malah kem Perak juga mampu menghela nafas lega apabila pencabar terdekat, Pulau Pinang tumpas 1-2 di tangan Sabah di Stadium Likas.

Memerlukan kemenangan dalam perlawanan ini, anak buah Mehmet Durakovic itu meningkat persembahan mereka dengan aksi cemerlang untuk merobek rekod tanpa kalah Tok Gajah.

Jangkaan Perak akan terjejas tanpa Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais Careca meleset kerana pemain tuan rumah bergandingan mantap untuk menyekat Pahang.

Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi membalas kepercayaan pegawai pasukan terhadap dirinya dengan menyumbang dua gol pada minit ke-45 dan 47.

Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan oleh Ronaldo Henrique Silva pada minit ke-31 manakala Lazarus Kaimbi menjaring gol saguhati Pahang pada minit ke-84.

Dalam perlawanan tadi, Perak garang menyerang sebaik sepak mula dan membuat tiga percubaan ke arah gol lawan tetapi semuanya menuju tepat ke arah penjaga gol, Helmi Eliza Elias.

Pahang cuba melancarkan serangan melalui Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha tetapi mereka berjaya di kekang benteng tuan rumah.

Kesungguhan Perak akhirnya membuahkan ganjaran apabila Ronaldo mudah menolak masuk hantaran silang Norhakim Hassan pada minit ke-31.

Shahrel kemudian melebarkan kedudukan tuan rumah apabila menyudahkan sepakan percuma oleh Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-44.

Pemain itu menambah keperitan anak buah Dollah Salleh dengan mudah menyudah hantaran Norhakim dua minit babak kedua bersambung.

Pahang cuba bangkit tetapi segala usaha mereka berjaya dipatahkan sehinggalah Kaimbi yang terdahulu mensia-siakan satu peluang terbuka pada minit ke-38 menjaring gol saguhati di minit ke-85.