Penyokong T-Team dan Selangor diingatkan agar tidak melakukan provokasi dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang menemukan kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, lusa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar, seramai 500 anggota keselamatan, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), akan dikerah dalam perlawanan itu.

“Peningkatan keselamatan diperlukan untuk mengelak kejadian buruk berlaku di dalam dan di luar stadium.

“Pemeriksaan rapi akan turut dilakukan di setiap pintu masuk stadium bagi memastikan tiada objek larangan seperti senjata, mercun dan suar dibawa masuk oleh penyokong kedua-dua pasukan.

“Hanya 10,000 penonton yang dibenarkan masuk ke stadium atas faktor keselamatan.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua penyokong untuk tidak mencetuskan provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan,” katanya.

Perlawanan yang berlangsung lusa dijangka sengit, dan akan dibanjiri oleh penyokong kedua-dua pasukan, dengan 1,000 tiket diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).