Pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof, mahu melengkapkan musim gemilangnya dengan menjulang gelaran Piala Malaysia bersama skuad Lang Merah yang akan menentang Selangor dalam aksi final di Shah Alam, Ahad ini.

Azmeer mewakili lapan pasukan berbeza dalam tempoh lapan tahun. Memulakan kariernya bersama Kuala Lumpur pada 2008, pemain kelahiran Perak itu kemudiannya melalui detik pasang surut.

Namun, Azmeer berjaya membuat kebangkitan semula dalam kariernya sejak menyarung jersi Hijau Kuning, musim ini.

"Kalau diikutkan, ini merupakan tahun terbaik saya sebagai pemain. Kalau boleh, saya nak melengkapkan penutup tahun ini dengan kejuaraan.

"Saya harap dipermudahkan segala-galanya untuk perlawanan akhir nanti," ujar Azmeer.

Pemain berusia 26 tahun itu turut mengakui penghijrahan ke negeri Jelapang Padi itu juga memberinya 'nyawa' baru dalam kehidupannya setelah diuji dengan masalah gaji oleh bekas majikannya, ATM FA, pada 2014 dan 2015.

"Ujian yang saya harungi pada tahun-tahun lepas, akhirnya terbalas pada tahun ini.

"Saya berharap sangat untuk menjadi juara kerana pada tahun lepas, saya hanya menontonnya di kaca televisyen.

"Saya harap dapat tebus balik kekalahan kepada Selangor pada tahun lepas."